Friday, October 4, 2013

Warkah untuk Sang Bidadari

Wahai isteri yang sentiasa mencari ketenteraman hidup dan kebahagiaan yang berpanjangan..

Ingatlah sesungguhnya suamimu bukanlah Rasulullah SAW dan akhlaknya jua tidak setara dengan akhlak baginda. Lantas engkau juga bukanlah makhluk Allah yang paling dicintainya. Sebagaimana Aisyah menjadi manusia yang paling dicintai Rasulullah SAW juga disirami dengan api cemburu maka berhati hatilah wahai isteri dengan bahana api cemburu.

Berwaspadalah jua wahai sayap kanan untuk lelaki yang tercipta untukmu. Jangan sekali kali kau memuji lelaki lain di hadapan suamimu atau kau menceritakan tentang perihal lelaki lain kepadanya. Atau kau mengagumi cara berpakaian lelaki lain, tutur bicaranya atau keperkasaannya.

Sesungguhnya kaum lelaki terlalu membenci semua perkara itu. Mereka akan rasa tercabar dan mencalar kewibawaanya. Meskipun dia sendiri yang meminta berbuat demikian sehingga bersumpah tidak akan cemburu,  ingatlah jangan sekali kali kau lakukan kerana dia akan ingat sepanjang hayatnya.

Wahai isteri, ketahuilah sesungguhnya lelaki tersemat di dalam kalbunya agar tidak ada dalam diri dan hatimu lelaki lain, bahkan tidak ada dalam dirimu yang lebih baik melainkan dirinya sahaja.

Wahai isteri yang tercinta,
Sesungguhnya jua, suamimu tidak akan mencari wanita lain di dunia ini. Dia telah berusaha untuk mendapatkan dan memilikimu. Dia bekerja untukmu, hidup untukmu dan ingin hidup denganmu bukan dengan orang lain. Maka bertakwalah engkau kepada Allah dan berusahalah untuk sentiasa benar. Percayalah kepada suamimu setelah engkau percaya kepada Allah yg dapat menjaga urusannya dan berilah apa yang diharapkan oleh suamimu.

Peganglah hadis Nabi Muhammad SAW ini :
"Allah SWT tidak akan melihat ke arah wanita yang tidak pernah berterima kasih kepada suaminya dan ia tidak pernah berasa cukup daripada suaminya ." (Riwayat an-Nasai, al-Bazar dan al-Hakim).

No comments:

Post a Comment